Ahlan wa Sahlan

AHLAN WASAHLAN KE BLOG JABATAN DAKWAH DAN PENGURUSAN KUIS



Ahad, 9 Oktober 2011

Menuju Menara Gading

oleh Dr Zulkefli Hj Aini

Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang menisbahkan dirinya kepada Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) merasa terpanggil untuk memuhasabah diri apakah insan yang berada di dalam institusi ini benar-benar menghayati Islam dalam erti kata yang sebenar. Dengan rasa insaf dan kenal diri, insan KUIS juga bertanya pada diri sendiri adakah KUIS benar-benar menunaikan amanah pendidikan Islam yang sebenar apabila KUIS dikenali sebagai Kolej Universiti. Jika begitu nama dan sifatnya IPT apakah yang melambangkan ketinggian sesebuah IPT? Justeru, KUIS berpandangan perlu dilihat kembali konsep dan gagasan pendidikan Islam sebenar seperti yang telah dibincangkan dan dirumuskan olej para ilmuan dan sarjana muslim di dalam First World Conference on Muslim Education yang berlangsung di Makkah al-Mukarramah pada tahun 1399H bersamaan tahun 1977. Antara perkara yang perlu diambil perhatian dalam Persidangan tersebut ialah penekanan tentang tujuan pendidikan Islam. Tujuan pendidikan Islam ialah untuk menciptakan insan yang baik dan soleh yang tugas hakikinya adalah pengabdian kepada Allah s.w.t. dalam erti kata yang sebenar serta membina struktur kehidupan di dunia ini mengikut acuan Syariah. Melalui pendidikanlah, insan dapat mengembalikan dan menzahirkan fitrah dirinya melalui konsep adab dan ta’dib. Oleh itu, KUIS berazam menjadikan insan KUIS sebagai insan beradab atau insan ta’dibi yang dalam erti kata insan yang bijaksana meletakkan sesuatu yang betul di tempat yang betul. KUIS juga bertekad membina insannya (terutama pelajar) menjadi manusia terpelajar (atau apa yang KUIS istilahkan sebagai student is our learner) yang insaf sepenuhnya tanggungjawab dirinya kepada Penciptanya, menunaikan keadilan dan tanggungjawabnya kepada dirinya dan ahli-ahli masyarakat lain seperti ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan serta kepada alam sekelilingnya. KUIS percaya bahawa proses adab dan ta’dib boleh dilakukan melalui dua pendekatan, iaitu ta’dib pemikiran dan ta’dib persekitaran.

Ta’dib pemikiran diterjemahkan melalui penganjuran siri-siri wacana, bicara dan diskusi yang berkaitan dengan makna dan maksud ta’dib. Justeru, KUIS telah mengadakan Wacana Ta’dib yang membincangkan beberapa persoalan penting dalam ta’dib seperti faham al-Din, faham insan dan faham ilmu. Di samping itu, perkara-perkara yang berkaitan dengan adab kepada Allah, adab kepada Rasul, adab kepada diri sendiri, adab kepada guru, adab kepada masyarakat, adab kepada bahasa dan adab kepada alam sekitar juga dibincangkan sebagai suatu usaha pencerahan kepada konsep ta’dib yang mahu dititipkan dalam pemikiran insan KUIS.

KUIS memberi perhatian serius tentang Ta’dib persekitaran dalam proses pendidikan. KUIS percaya pendidikan bermula apabila insan melangkahkan kaki ke pintu gerbang atau pintu utama KUIS. Dengan kata lain, pendidikan tidak hanya bermula di dalam dewan kuliah, bilik seminar dan bilik tutorial semata-mata. Dengan menjadikan masjid sebagai nadi dan jantung (al-qalb) kecemerlangan insan, KUIS berazam menjadikan solat sebagai salah satu komponen dalam kurikulum pengajiannya. Ini kerana KUIS berpandangan, masjid di IPT bukan sifatnya seperti masjid yang difahami oleh kebanyakan masyarakat yang bersifat ritual dalam erti kata yang sempit dan ceremonial (sekadar penganjuran majlis sempena hari kebesaran Islam yang bersifat rasmi). Inilah tekad KUIS untuk mengejar status Ta’dib University (TU), di kala IPT lain mengejar status Research University (RU), yang menyediakan program pengajian dalam erti kata kurikulum pengajian yang melambangkan maksud dan erti pendidikan Islam yang sebenar dan juga persekitaran yang menyokong pembentukan ta’dib insan. Insan itu pula adalah insan yang boleh hidup dalam keadaan insan ta’dibi atau insan beradab. KUIS dengan sedar diri inilah niche perbezaan KUIS yang menjadi kekuatan untuk memacu kecemerlangan dan menterjemahkan konsep al-falah di dunia dan di akhirat. KUIS memohon kekuatan daripada Pencipta yang Maha Agung untuk merealisasikan gagasan Universiti Ta’dib. Mudah-mudahan masyarakat berbondong-bondong datang ke KUIS dalam erti melihat KUIS sebagai A Sought-After University; Not A Left-Over Choice.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan